Sekiranya anda mempunyai masa terluang di hujung minggu dan ingin mendalami sejarah Kuala Lumpur dalam tempoh yang singkat, anda hanya perlu menuju ke Dataran Merdeka yang terletak di Jalan Raja. Di sekeliling kawasan ini terdapat pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi yang menyimpan seribu-satu cerita tentang bandaraya kosmopolitan ini. Semuanya terletak berhampiran Stesen LRT Masjid Jamek, tempat bermulanya perjalanan anda.
Sebaik sahaja keluar dari pintu utama stesen berkenaan, anda hanya perlu berjalan kira-kira 5 minit untuk sampai ke Dataran Merdeka, nadi Kuala Lumpur. Di sini lah orang ramai berkumpul untuk menyambut kelahiran nagara baharu kira-kira 66 tahun lepas. Padang tersebut turut menjadi medan tumpuan orang ramai setiap perayaan kebangsaan termasuk Hari Kebangsaan dan sambutan Tahun Baharu.
Di hadapannya, adalah Bangunan Sultan Abdul Samad, karya seni bina Moor yang berusia lebih 127 tahun, yang berdiri megah, tak lapuk ditelan zaman meskipun arus pemodenan menyaksikan banyak bangunan pencakar langit di keliling Kuala Lumpur.
Di belakangnya pula, adalah Masjid Jamek, salah satu masjid tertua dengan seni bina yang unik di Kuala Lumpur. Terletak di pertemuan dua batang sungai, Sungai Gombak dan Sungai Kelang, di sinilah tempat bermulanya Kuala Lumpur.
Kawasan sungai di sepanjang Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek ini diberi nafas baharu menerusi projek River of Life. Pada sebelah malam, pengunjung dapat menyaksikan persembahan lampu yang sungguh mengasyikkan di sepanjang laluan sungai ini.
Jejak mengikuti aliran air sungai ini akan membawa pengunjung ke Pasar Seni, hab kebudayaan yang penuh dengan kesenian, kraf dan kulinari tempatan. Singgah sejenak untuk melepaskan dahaga dan mengalas perut dengan juadah tempatan yang banyak terdapat di sekitar kawasan ini sebelum meneruskan penerokaan anda ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang terletak berhampiran.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke stesen ini, anda seakan kembali ke zaman silam. Keunikan senibina serta fungsinya sebagai hab pengangkutan pada masa lampau pasti membuatkan anda teruja membayangkan keretapi yang melalui landasan di stesen ini menjadi nadi pembangunan negara pada suatu ketika dahulu.