Terletak di tengah-tengah ibukota, Muzium Negara berdiri megah sebagai destinasi tarikan pelancongan untuk pengunjung baik dari dalam mahupun luar negara. Sarat dengan bahan-bahan bersejarah serta kaya dengan artifak, Muzium Negara menyajikan kepada para pengunjung kepelbagaian warisan tamadun manusia amnya, selain daripada tentu sekali khazanah warisan Malaysia.
Dibuka kepada orang ramai bermula dari 31 Ogos 1963, Muzium Negara mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara warisan khazanah budaya. Dengan keunikan reka bentuk tersendiri yang diilhamkan dari seni bina tradisional Melayu, pengunjung pasti terpesona dengan kemegahan fasad muzium tersebut.
Para pengunjung akan didedahkan dengan pameran berinformatif secara teratur dengan garisan masa ketamadunan umum manusia dan negara dari sejarah awal hingga ke zaman kini, yang mampu membuai nostalgia pengunjung dalam menikmati rekod-rekod sejarah lampau sehingga tidak sedar masa berlalu dalam lawatan ke muzium ini.
Buat peminat pengangkutan awam, anda boleh melihat sendiri lokomotif enjin wap, yang merupakan antara kaedah pengangkutan yang telah membantu memacu pertumbuhan ekonomi domestik serta bukti evolusi perindustrian negara.
Muzium Negara direka dan disusun atur sesuai untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tempatan mahupun luar negara. Ianya juga begitu mesra keluarga dan kanak-kanak pasti akan turut terhibur berkunjung ke sini.
Sepanjang tahun 2023, Muzium Negara menganjurkan CERIA, sebuah aktiviti yang berkonsepkan Do-It-Yourself atau ‘DIY’ dalam menghasilkan pelbagai kraf seperti rebana ubi, wau bulan, kotak undi dan lain-lain lagi.
Selain dapat mempelajari tentang keunikan sejarah Malaysia, aktiviti ini juga dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang koleksi dan artifak yang bercirikan kebudayaan dan warisan negara. Serlahkan bakat anak-anak anda dengan melakukan aktiviti interaktif dan praktikal ini pada setiap hari Sabtu di Dewan Tengah Muzium Negara. Penyertaan adalah PERCUMA!
Butiran lanjut:
Sesuai untuk kanak-kanak 7 hingga 12 tahun.
Tarikh: 1 Januari hingga 31 Disember 2023
Hari: Setiap hari Sabtu
Masa: 11.00 pagi
Lokasi: Dewan Tengah, Muzium Negara
Waktu operasi Muzium Negara adalah dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang. Untuk ke Muzium Negara, para pengunjung boleh menaiki MRT ke Stesen MRT Muzium Negara yang berada di depan pintu masuk utamanya.
Jom jalan-jalan!