4 Lokasi Bazar Ramadan 2024 Di Laluan Rapid KL
Gallery inside!
Jom Makan

4 Lokasi Bazar Ramadan 2024 Di Laluan Rapid KL

Syukur ke hadrat Ilahi, kerana umat Islam kini diberikan kesempatan untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia buat ke sekian kalinya pada tahun 2024 ini.

Selain dari mengejar amal ibadat di bulan yang mulia, ramai di antara kita juga teruja untuk berkunjung ke pelbagai bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah yang lazat dan menarik untuk berbuka puasa. Kemeriahan pelbagai bazar Ramadan sudah menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia, yang bukan hanya dikunjungi oleh penganut agama Islam yang berpuasa, malah turut dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama, serta para warga asing yang ingin merasai selera tempatan.

Antara juadah lazim yang digemari ramai, termasuklah murtabak, aneka kuih talam, apam balik, ayam golek dan Roti John. Tidak lengkap jika tekak yang berpuasa tidak dibasahi dengan aneka minuman lazat lagi menyegarkan, seperti air perahan tebu segar, air soya panas, air jagung lemak manis dan sebagainya.

Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan tahun ini, Tim Mobiliti menyenaraikan 4 lokasi bazar Ramadan pilihan, yang merupakan sebahagian daripada antara lokasi-lokasi tumpuan bazar Ramadan terkenal yang boleh dikunjungi melalui pengangkutan awam terdekat.

1. Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Selangor

Bazar Ramadan Stadium Shah Alam (Kredit gambar: FB Bazaar Ramadhan Stadium Shah Alam)

Pada setiap tahun, Bazar Ramadan Stadium Shah Alam merupakan antara bazar termahsyur dan terbesar yang menjadi destinasi 'wajib' untuk dikunjungi buat para penggemar juadah berbuka puasa. Buat yang tidak pernah hadir ke sini, kami sarankan anda cubalah untuk berkunjung paling tidak pun, sekali seumur hidup. Setelah membeli juadah, boleh juga duduk berbuka beramai-ramai dengan para pengunjung lain di sekitar kawasan Stadium Shah Alam yang luas dan berangin.

Buat pengguna pengangkutan awam, stesen tren yang terdekat ialah LRT Glenmarie. Dari sini, anda boleh menaiki bas Rapid KL, dan anda boleh turun samada di Hentian Bas di Giant Hypermarket Seksyen 13, Shah Alam atau di Pangsapuri Perdana Seksyen 13 Shah Alam dan anda hanya perlu berjalan ke Bazar Ramadan Stadium Shah Alam antara 5-8 minit perjalanan santai.

2. Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur

Bazar Ramadan TTDI KL (Kredit gambar: New Straits Times)

Satu lagi bazar Ramadan yang lazimnya dalam senarai pengunjung bazar tegar, tidak lain tidak bukan, tentu sekali Bazar Ramadan TTDI KL! Walaupun ianya tidak sebesar Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, namun kemeriahan dan kepelbagaian gerai jualan tidak kurang hebatnya. Bazar TTDI KL ini terletak di Jalan Tun Mohd Fuad 2 yang bukan hanya terkenal menjual juadah buka puasa yang biasa dikenali, tetapi juga terkenal dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan 'urban' lagi 'viral' yang ditularkan oleh para pembina konten tempatan mahupun dari luar negara.

Buat pengguna pengangkutan awam, anda boleh pilih untuk turun di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail (TTDI) jika anda menaiki tren, atau turun di Hentian Bas di BHP Damansara Utama melalui Bas Rapid KL.

3. Bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju (Kredit gambar: Warong Hunter)

Sediakan kasut sukan yang untuk dipakai sebelum anda berkunjung ke sini, kerana Bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju dikatakan antara bazar Ramadan yang terpanjang di ibukota! Buat yang memandu, tidak sukar untuk mencari lokasi tempat ini, kerana ianya berhampiran dengan AEON Wangsa Maju.

Manakala buat pengguna pengangkutan awam pula, Bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Stesen LRT Wangsa Maju. Ianya begitu berdekatan, jadi tidak mustahil jika ketibaan anda di stesen ini disambut dengan aroma juadah buka puasa yang menggiurkan.

4. Bazar Ramadan Putrajaya

Bazar Ramadan Putrajaya (Kredit gambar: Warong Hunter)

Selain terkenal sebagai pusat pentadbiran negara dan senibina bangunan-bangunan kerajaan yang indah, Putrajaya turut tidak kurang dikenali dengan bazar Ramadannya yang tersendiri.

Terdapat lima tapak bazar Ramadan yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj), dan tapak terbesar adalah di Presint 3 berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi). Empat lagi tapak melibatkan Presint 11, Presint 9, Presint 16 dan Presint 14.

Buat warga dari luar Putrajaya, anda boleh berkunjung ke sana dengan mudah melalui tren dan turun di Stesen MRT Putrajaya Sentral.

Editor
Team Mobiliti
June 11, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami