Koc Wanita: Lelaki Sejati adalah Lelaki Budiman yang menghormati Hak Wanita
Gallery inside!
R&B (Rel & Bas)

Koc Wanita: Lelaki Sejati adalah Lelaki Budiman yang menghormati Hak Wanita

Pada 21 Disember 2023 yang lalu, Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke merasmikan projek rintis koc wanita bagi perkhidmatan MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussien Onn.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang wanita. Ini penting bagi memastikan pengguna wanita tidak berasa takut mahupun gusar untuk menggunakan perkhidmatan awam.

Hasil dari inisiatif ini dapat dilihat dari penurunan jumlah aduan kes gangguan seksual terhadap penumpang wanita, dari lapan kes pada suku pertama 2023 kepada tiga kes pada suku keempat.

Perasmian Projek Rintis Koc Wanita oleh (YB) Anthony Loke

Inisiatif koc wanita sebegini turut dilaksanakan dengan jayanya di beberapa buah bandaraya utama luar negara seperti di Dubai, Mexico City, Rio de Janeiro, Jakarta dan New Delhi.

YB Anthony Loke dalam ucapan perasmiannya berpesan kepada penumpang lelaki agar menjadi lelaki yang budiman dan hormati hak kaum wanita. Lelaki budiman atau 'gentleman' akan ada kesedaran kendiri tanpa perlunya peraturan untuk dikenakan denda dan sebagainya. Akan tetapi pihak Prasarana sedang dalam proses kerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memperkemaskan undang-undang serta peraturan yang berkaitan untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap segelintir penumpang lelaki yang berdegil dan menceroboh koc wanita.

Pihak Prasarana juga dalam proses menambah baik ciri-ciri keselamatan di setiap stesen termasuk memperbanyakkan lagi bilangan polis bantuan dan memperbaiki aspek pencahayaan dari platform ke tempat meletak kenderaan.

Editor
Team Mobiliti
April 2, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami