Kata orang, sebaik-baik masakan yang hendak dijual, ialah masakan yang tukang masak itu sendiri akan suka dan rasa sedap bila memakannya.
Inilah yang terjadi dengan pasangan adik dan kakak, Nik Suzana dan Nik Suriani. Ianya bermula bila Nik Suzana teringin untuk makan takoyaki yang sesuai dengan seleranya. Atas dasar kasih sayang, Nik Suriani cuba memasak takoyaki dengan resepi olahannya. Bukan hanya ianya terus menjadi kegemaran adiknya, malah takoyaki Nik Suriani turut mendapat sambutan dari kalangan kawan-kawan sekolah anaknya yang menjadi antara “pelanggan” terawal.
Sejak dari itu, pasangan adik-beradik ini mendapat idea untuk memulakan perniagaan Melati Takoyaki bertempat di Taman Melati, Kuala Lumpur pada lewat tahun 2018. Tim Mobiliti berpeluang untuk berkunjung ke gerai mereka di bawah inisiatif ‘Rapid KL Support Lokal’ oleh Prasarana.
Melalui temubual mesra antara Tim Mobiliti dan Nik Suzana, yang menguruskan soal berkaitan perniagaan dan pemasaran Melati Takoyaki, manakala kakaknya Nik Suriani pula adalah ‘chef’ yang menjaga soal masakan dan mutu makanan, kami hidangkan kepada para pembaca 10 Perkara Menarik Tentang Melati Takoyaki:
- Pizza atau Takoyaki?: Ada yang menyangka mereka menjual pizza, disebabkan menggunakan kotak pizza sebagai salah satu kotak pembungkusan takoyaki. Kotak pizza dipilih kerana ianya lebih keras dan tahan sekaligus melindungi bentuk takoyaki yang dijual. Mereka mendapat idea menggunakan kotak keras pizza kerana pada awalnya mereka menggunakan bekas plastik yang lazimnya digunakan peniaga, tetapi akhirnya penyet bila disusun untuk penghantaran. Yang paling penting, harga kekal sama! Tiada caj tambahan dikenakan. Mereka sanggup mengekalkan harga jualan asal walaupun kos meningkat sedikit dengan kualiti kotak kerana ingin mengekalkan kepuasan pelanggan.
- Jenama Asli: Melati Takoyaki adalah jenama perniagaan original atau asli, bukan jenama francais. Bukan setakat itu, malah tepung dan sos masakan adalah adunan melalui resepi sendiri dan bukannya produk siap digunakan yang dijual di pasaran.
- Dijamin Halal: Bahan-bahan mentah yang digunakan dalam masakan mereka dibeli dari para pembekal Muslim yang berstatus Halal.
- Harga Mampu Milik: Harga takoyaki mereka dijual serendah 0.78 sen sebiji, berbanding harga lazim di pasaran pada RM1 sebiji.
- Diskaun Tambahan: Tidak cukup dengan harga jualan yang lebih rendah dari harga jualan pasaran, Melati Takoyaki tidak lokek untuk memberikan diskaun tambahan buat para pelanggan yang membeli secara pukal untuk majlis atau upacara keramaian.
- Jualan Dalam Talian: Walaupun memiliki premis perniagaan fizikal, jualan utama Melati Takoyaki sebenarnya adalah dari saluran dalam talian yang melebihi dari jualan pengunjung ke kedai. Para pelanggan lazimnya membuat pesanan melalui talian WhatsApp dan laman web/sosial Melati Takoyaki. Ini kerana Melati Takoyaki asalnya merupakan perniagaan dari rumah (home-based) untuk dua tahun pertama sejak mula ditubuhkan, sebelum berpindah ke premis komersial. Tempoh awal tersebut telah membantu mereka mewujudkan data pelanggan tetap yang sering berulang membuat pesanan.
- Anda Dapat Apa Yang Anda Pilih: Jualan Melati Takoyaki kebanyakannya adalah pra-tempah. Ini membolehkan mereka menyediakan pilihan inti takoyaki seperti yang dimahukan pelanggan, seperti inti sotong, ayam, udang dan sebagainya. Pendekatan ini berbeza jika dibeli tanpa tempah, di mana pelanggan akan mendapat takoyaki berintikan apa yang berbaki sahaja.
- Khidmat Pelanggan: Selain daripada olahan resepi yang disesuaikan dengan selera pasaran tempatan dan kelainan pembungkusan kotak pizza, penekanan juga diberikan oleh Melati Takoyaki ke atas mutu khidmat pelanggan, sebagai salah satu cara untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan yang rata-ratanya adalah pelanggan tetap mereka.
- Pasaran Sasaran: Mungkin ada yang menyangka, biasanya para pelajar sekolah yang menggemari takoyaki. Akan tetapi, sebenarnya pelanggan teramai Melati Takoyaki adalah golongan pekerja pejabat dan keluarga, manakala para pelanggan cilik dari kalangan pelajar sekolah hanyalah kelompok terkecil pelanggan mereka.
- Latar belakang Akademik: Mungkin ada yang menyangka, sekurang-kurangnya salah seorang dari mereka ini mempunyai latihan formal dalam bidang kulinari. Tetapi sebenarnya tidak. Nik Suzana adalah graduan dalam jurusan sains, manakala Nik Suriani dari bidang teknologi maklumat atau IT. Yang penting, minat dan kesungguhan untuk belajar sendiri mesti ada, tambahan pula di zaman digital sekarang ini, banyak ilmu boleh dipelajari hanya di hujung jari sahaja.
Bagi yang berminat untuk ke sana melalui pengangkutan awam, boleh turun di Stesen LRT Taman Melati, atau boleh juga membuat tempahan melalui pautan yang disediakan di laman Instagram mereka di: https://www.instagram.com/melatitakoyaki/