Daripada Wanita Berkerjaya Kepada Usahawan Roti dan Kek Sepenuh Masa
Gallery inside!
Support Lokal

Daripada Wanita Berkerjaya Kepada Usahawan Roti dan Kek Sepenuh Masa

Pemilik Crumbsandmint, Yda (kiri) dan Najia (kanan)

Untuk membangunkan sesuatu perniagaan bukanlah satu perkara yang senang dan ianya mengambil masa dan memerlukan dedikasi. Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja jika tidak berani mengambil risiko dan menempuh cabaran.

Berpaksikan pada prinsip yang sama, Wahidatul Akma binti Che Awang (Yda) dan Najiyah Fariha binti Che Awang (Najia), dua beradik pemilik kepada perniagaan Crumbsandmint, mula menceburi bidang masakan roti dan kek apabila mereka ingin membuat brownies yang menepati citarasa ibu tercinta. Atas dorongan ibu mereka dan maklum balas positif yang diterima daripada keluarga dan kenalan, Yda dan Najia mula mengambil tempahan dan beroperasi daripada rumah pada tahun 2016.

Yda dan Najia tidak menjadikan latar belakang pendidikan mereka sebagai batu penghalang untuk berkecimpung dalam bidang kulinari. Yda merupakan seorang graduan kewangan manakala Najia pula graduan sains kimia tulen. “Asalkan ada minat dan usaha, semuanya tidak mustahil,” kata Yda yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik.

Kedua adik-beradik ini masing-masing merupakan wanita berkerjaya, Yda bekerja sebagai Eksekutif Akaun dan Najia sebagai Eksekutif Kawalan Kualiti. Antara cabaran terbesar mereka dalam menguruskan bisnes Crumbsandmint ini adalah dari segi masa dan komitmen. Mereka mempunyai masa yang suntuk untuk menguruskan kerjaya pada siang hari dan pada malam hari menyiapkan tempahan serta meluangkan masa bersama keluarga.

Hidangan di Crumbsandmint

Oleh yang demikian, Yda membuat keputusan untuk berhenti kerja dan fokus pada bisnes Crumbsandmint secara sepenuh masa, mengikuti langkah yang telah dibuat oleh adiknya, Najia yang telahpun berhenti tiga tahun lebih awal. Walaupun keputusan yang diambil agak berisiko bagi wanita bekerjaya, Yda yakin keputusannya akan memberikan hasil yang terbaik setelah beberapa tahun Crumbsandmint ditubuhkan.

Pembukaan kafe Crumbsandmint pada April lalu sebenarnya bukan dalam perancangan asal. Awalnya Yda dan Najia mahu menyediakan studio pembuatan kek khas untuk pelanggan yang menunggu tempahan disiapkan. Studio pembuatan kek yang beroperasi di dalam bangunan pejabat menyukarkan pergerakan keluar masuk bahan-bahan mentah. Justeru, pencarian tempat baru yang lebih selesa diteruskan sehingga mereka mampu membuka kafe secara tidak sengaja.

Kafe Crumbsandmint yang pakar dalam menyediakan pencuci mulut juga turut menempatkan pembekal (vendor) kopi dan bunga di dalam kafe mereka bagi memberikan pengalaman yang terbaik sepanjang mereka meluangkan masa di kafe.

Yda memberitahu Tim Mobiliti, bahawa sokongan daripada keluarga merupakan inspirasi yang terbesar bagi mereka meneruskan perniagaan ini. Selain itu, mereka juga mendapat sokongan padu daripada pasangan masing-masing dari segi mental mahupun fizikal sehingga mereka turut belajar membuat kek dan roti dalam menyiapkan tempahan yang diterima walaupun tanpa sebarang latarbelakang kulinari.

Ruangan dalam Crumbsandmint

Bukan sekadar roti dan kek, Crumbsandmint juga menyediakan perkhidmatan “dessert table” yang kian mendapat permintaan ramai dalam majlis secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Mereka baru sahaja memperkenalkan servis tersebut setahun yang lalu dan mendapat permintaan yang tinggi. Pelanggan Crumbsandmint perlu menempah slot terlebih awal untuk mengelakkan daripada kekecewaan kerana tarikh yang dikehendaki telah penuh.

Akhir sekali, nasihat yang diberikan daripada Yda kepada bakal usahawan di luar sana adalah untuk sentiasa percaya dengan proses dan tidak melangkaui fasa kehidupan. “Mula daripada bawah dahulu, jangan terus lompat ke atas dan bersedia untuk mengambil risiko yang besar. Apa-apa pun, percaya pada diri sendiri.”

Bagi yang berminat mengunjungi kafe Crumbsandmint, anda boleh singgah ke sekyen 11, Shah Alam dan untuk membuat sebarang tempahan, boleh ke pautan yang disediakan di laman Instagram mereka di : https://www.instagram.com/crumbsandmint/.

Tags:
Editor
Team Mobiliti
June 11, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami