Dulu Tular Berniaga Jual Teh Masala, Tetapi Sekarang Apa Cerita?
Gallery inside!
Support Lokal

Dulu Tular Berniaga Jual Teh Masala, Tetapi Sekarang Apa Cerita?

Malaysia, seperti juga negara-negara lain di dunia pernah melalui zaman pandemik pada tahun 2020-2022. Tempoh yang digelar sebagai zaman "The Great Lockdown" ini cukup memeritkan ramai, bukan setakat dengan cabaran dari sudut kesihatan malah tekanan ekonomi.

Banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar. Ramai juga pekerja yang hilang punca mata pencarian, dan bergelut mencari peluang pekerjaan demi kelangsungan hidup dan keluarga.

Terselit suatu kisah pada zaman pandemik itu tentang seorang graduan kejuruteraan mekanikal dari sebuah universiti tempatan yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan yang selari dengan kelayakannya. Beliau hanyalah seorang daripada ribuan graduan lain yang senasib, kerana mereka menamatkan pengajian dalam waktu negara sedang "berkurung" dengan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan.

Kavievanan Subramaniam, atau turut dikenali sebagai Kavie, nekad untuk tidak berpeluk tubuh. Anak muda Malaysia berasal dari Cheras yang berumur 23 tahun pada ketika itu menaruh nasib memulakan perniagaan menjual teh masala (teh campuran herba) pada sekitar pertengahan tahun 2020. Di saat masyarakat masih berwaspada dengan ancaman wabak, Kavie mengayuh basikalnya dengan mengangkut bekalan teh masala panas seberat 20 liter yang siap dibancuh di rumah untuk dijual di Brickfields, Kuala Lumpur.

Namun tanpa diduga, pertaruhan beliau menjual minuman kegemarannya ini dengan harga semurah RM1 secawan, perlahan-lahan mula mendatangkan hasil.

Dari buah mulut masyarakat setempat yang menikmati keenakan teh masala pada harga yang amat berpatutan, jenama Tea Thambi milik Kavie seterusnya mula mendapat perhatian pelbagai saluran media massa dan digital. Satu per satu media mula menjengah ke gerai Tea Thambi membuat liputan. Kisah keusahawanan beliau mula tular di merata tempat. Seorang demi seorang pelanggan dari kalangan tokoh kenamaan juga turut datang menikmati hidangan teh masala panas Tea Thambi, termasuklah beberapa menteri kabinet.

Tea Thambi juga turut mendapat perhatian Prasarana. Kavie telah dijemput untuk menyertai kempen 'Rapid KL Support Lokal' seliaan Prasarana, di mana operator dan para peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk hab-hab bas, dibantu dalam bentuk sokongan promosi di saluran-saluran media sosial Rapid KL. Antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan Kavie ialah bila gerai Tea Thambi dikunjungi oleh mantan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu acara yang dianjurkan oleh Prasarana tidak lama dahulu.

PERKEMBANGAN TERKINI

Tidak ramai yang tahu apa perkembangan terkini Kavie dan perniagaannya Tea Thambi setelah tular beberapa tahun yang lalu. Mungkin kerana cerita itu sudah 'sejuk' dan rakyat amnya sudah mula sibuk dengan urusan harian setelah ekonomi negara dibuka semula sepenuhnya.

Kavie kini yang sudah berumur 26 tahun, sudah mengorak langkah dengan lebih jauh.

Hanya dalam masa 3 tahun, bermula dari gerai pertama atas basikal di Brieckfields, Kavie telah membuka 6 lagi warung bergerak tambahan di sekitar Kuala Lumpur dan juga sebuah kafe kekal di Jalan Tun Perak. Bermula dengan jualan sekitar 30 hingga 40 cawan sehari, jualan terkumpul dari kesemua 8 gerai Tea Thambi kini mencecah sehingga 4 ribu cawan sehari. Bermula dari solo, Kavie kini seorang majikan yang dibantu oleh 15 orang pekerja.

Bukan itu sahaja, Tea Thambi turut melebarkan sayap perniagaan dalam bidang katering dan antara pelanggan-pelanggan besarnya termasuklah beberapa syarikat korporat dan perbankan terkemuka.

Selain dari teh dan kopi masala yang masih dijual pada harga sama iaitu bermula dari RM1 secawan, Tea Thambi kini turut menjual aneka roti dan kek yang diambil dari pembekal. Malah, demi untuk memenuhi selera pelanggan yang semakin berkembang, Kavie turut menggajikan pekerja untuk memasak sendiri beberapa jenis kuih-muih tempatan seperti karipap, vadei, kuih ketayap (gulung) dan cekodok pisang.

PERANCANGAN MASA HADAPAN

Segala jerih perih dan pengorbanan tidak lain hanya menguatkan lagi semangat anak muda ini untuk terus maju dalam perniagaannya. Kavie, yang pada peringkat awal berniaga pernah melecur di kaki kerana bekas 20 liter terlucut dari basikalnya menumpahkan minuman panas, kini dalam proses untuk membuka 2 buah warung bergerak lagi dalam penghujung tahun ini, yang menjadikan jumlah keseluruhan gerai Tea Thambi sebanyak 10 buah.

Beliau juga kini mendapat bimbingan agensi kerajaan SME Corp. Malaysia dalam proses membangunkan pelan perniagaan untuk menjadikan jenama Tea Thambi sebuah perniagaan francais, sebagai suatu pilihan untuk lebih ramai bakal usahawan berkecimpung dalam bidang ini. Selain daripada itu, Kavie memberitahu tim Mobiliti bahawa beliau juga sedang mempersiapkan Tea Thambi untuk memohon sijil Halal dari JAKIM kelak.

Semoga kisah Kavie ini terus menjadi inspirasi umum dan memangkin semangat keusahawanan muda negara!

Editor
Team Mobiliti
June 11, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami