Di Uptown Kota Damansara segalanya bermula. Diasaskan oleh dua bekas rakan sekerja yang kini rakan kongsi perniagaan, Muhammad Danish Azmi dan Nurul Hidayah Mohd Nizam pada tahun 2021 menubuhkan D&D Desserts dengan menjual juadah inovasi sendiri iaitu popiah goreng berintikan pisang. Dua anak muda berusia awal 20an ini mulanya berjualan hanya separuh masa, dari jam 7 petang hingga 2 pagi, dan kembali bertugas dengan kerjaya di bidang makanan dan minuman (F&B) sepenuh masa pada siang harinya.
D&D adalah singkatan kepada Danish dan Dayah, kemudian dijenamakan semula kepada D&D Croffle dan berpindah ke tapak penjaja di Jalan Pekaka 8/3, Kota Damansara. “Croffle adalah hidangan kacukan croissant-waffle, sefaham kami berasal dari Korea Selatan”, ujar Danish kepada Tim Mobiliti.
Menu D&D Croffle dibangunkan oleh mereka berdua dengan menuntut ilmu secara dalam talian, dengan sumber rujukan utama dari YouTube, Instagram dan TikTok.
“Kami menjual croffle kerana kami percaya, juadah lazat sebegini sepatutnya boleh dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Harga menu sebegini agak premium jika dibeli di pasaraya atau kafe. Jadi kami menjual pada harga mampu milik supaya lebih ramai dapat menikmatinya”, menurut Dayah.
Mereka kini berniaga sepenuh masa. Aktiviti perniagaan mereka bermula sejak dari jam 7 pagi dengan membuat pelbagai persiapan termasuklah membuat adunan tepung dan mencairkan sos-sos masakan, sebelum mula membuka gerai bermula dari jam 11.30 pagi hingga ke 7 petang pada setiap hari, kecuali hari Sabtu.
Berpanas dan berhujan itu perkara biasa. Menu sentiasa ditambah baik hasil dari makluman para pelanggan, yang ramai terdiri daripada para pelajar dan juga golongan ibubapa. Selain dari croffle perisa asli, satu lagi juadah terlaris mereka ialah ‘baby pancake’.
Danish dan Dayah tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Antara pelan masa hadapan ialah mereka berhasrat untuk mengembangkan lagi capaian D&D Croffle di pasaran, dengan membuka cawangan francais. Untuk tahun 2024, sebuah cawangan francais bakal dibuka tetapi kini masih dalam proses untuk memuktamadkan perancangan ini. Selain daripada itu, mereka juga berhasrat untuk mendapatkan sijil Halal dari JAKIM, walaupun segala bahan mentah mereka kini diperolehi daripada para pembekal yang turut mempunyai sijil Halal.
“Pada mulanya keluarga saya kurang bersetuju kerana mereka mahu saya sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi hati saya sudah terpaut untuk menjadi usahawan”, Danish berkata.
“Tapi Alhamdulillah, keluarga saya kini menyokong perjalanan perniagaan kami setelah kami buktikan yang kami serius mahu berniaga dan kami mampu untuk terus berjuang dengan modal sendiri dan mendapat sambutan pelanggan tetap sejak dari tahun 2021 lagi. Insya-Allah, saya tidak menolak kemungkinan untuk sambung belajar pada masa hadapan bila masanya sesuai dan perniagaan lebih stabil”, tambah beliau.
Bila ditanya apakah nasihat kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan juga, jawapan mereka ringkas; “Follow your dreams”.
Tim Mobiliti mengucapkan terima kasih di atas kesudian mereka untuk berkongsi kisah keusahawanan yang begitu memberikan inspirasi ini.
Bagaimana hendak ke sana dengan pengangkutan awam: Jika anda mahu mencuba kelazatan juadah croffle dan babypancake panas dari D&D Croffle, turun di Stesen MRT Kwasa Sentral, dan naik bas Rapid KL T801 ke Jalan Pekaka 8/3.