2 Generasi, 1 Legasi, Terus Berbakti
Gallery inside!
People of Prasarana

2 Generasi, 1 Legasi, Terus Berbakti

Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Perumpamaan Melayu ini tepat dalam menggambarkan gandingan ayah dan anak yang mana keduanya kini masih aktif menabur khidmat bakti sebagai Kapten Bas bersama RapidKL.

Perkenalkan, Encik Zini Bin Ahmad, 59 tahun dan anak lelakinya Encik Farid Bin Zini, 22 tahun.

Lebih kurang 14 tahun lalu, atau lebih tepat pada 14 Disember 2009, adalah hari pertama En. Zini mula ‘golek tayar’ selaku Kapten Bas RapidKL. Itulah saat bermulanya tarikh keramat beliau berbakti tidak kira hujan atau panas, menelusuri jalan-jalan di sekitar Lembah Kelang demi memastikan para pengguna perkhidmatan bas awam RapidKL selamat tiba ke destinasi masing-masing.

Namun tanpa beliau sangka, 14 tahun kemudiannya, salah seorang daripada 3 anaknya turut menggalas tanggungjawab selaku Kapten Bas RapidKL sepertinya. En. Farid yang masih bujang, secara rasmi meneruskan legasi ayahnya bermula pada 1 Februari tahun ini.

Untuk edisi sulung Mobiliti ini, kami berpeluang menyantuni kedua mereka untuk dicungkil sedikit sebanyak cerita menarik dari pasangan anak-beranak yang kini merangkap rakan sekerja. Teruskan membaca temubual ringkas ini.

Soalan: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa. Boleh kami tahu, kenapa memilih pekerjaan ini?

En. Zini: Saya memilih pekerjaan ini berdasarkan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru. Saya sering bertanya bagaimana sebenarnya keadaan bila kita bertemu dan berkomunikasi dengan pelbagai jenis ragam manusia, dari segenap lapisan masyarakat, baik dari dalam mahupun luar negara. Alhamdulillah, sejak bekerja sebagai Kapten Bas RapidKL, saya seronok kerana berpeluang mengenali dan beramah mesra dengan ramai penumpang, tidak terkira jumlahnya.

Saya juga boleh katakan, bekerja memandu bas perkhidmatan awam ini juga banyak mematangkan saya dari segi kemahiran dalam bekerja. Kerana ianya bukan hanya seringkas memulas kunci dan menekan pedal minyak bas, tetapi tuntutan kerja memerlukan mana-mana pemandu bas untuk mahir dengan selok-belok tugas dari mula hingga akhir. Ini termasuklah aspek memahirkan diri bagaimana untuk mengendalikan kenderaan berat, fahami ragam jentera yang dipandu, peka kepada persekitaran terutamanya keadaan trafik yang mungkin menjejaskan masa perjalanan dan cakna kepada keperluan penumpang bas.

En. Farid: Minat saya dalam bidang ini didorong secara langsung dan tidak langsung sejak dari kecil lagi. Saya masih ingat keterujaan saya setiap kali mengikuti ayah bertugas memandu bas. Saya akan duduk dibelakang dan turut ‘memandu’ bas dengan menggunakan penyangkut baju sebagai stereng. Saya kagum dengan kecekapan ayah memandu bas, mengangkut penumpang dari satu tempat ke satu tempat lain dalam keadaan di mana pada ketika itu penggunaan pemanduan berpandukan GPS tidaklah suatu kelaziman seperti zaman kini.

Ini menimbulkan minat saya yang mendalam untuk meneroka selok-belok laluan dan jalan. Dari hari ke hari sejak saya mula bertugas sebagai Kapten Bas bersama RapidKL, saya seronok menikmati perjalanan ke segenap destinasi laluan bas kendalian saya. Malah, ada antara tempat yang saya lalui membawa penumpang itu tidak pernah saya kunjungi atau lalui pun seumur hidup saya. Alhamdulillah, dari pegang stereng olok-olok penyangkut baju suatu ketika dahulu, kini saya direzekikan untuk memandu bas yang sebenar!

Soalan: Setiap pekerjaan ada asam garamnya. Boleh kongsikan apakah pengalaman manis dan pahit sebagai Kapten Bas?

En. Zini: Pengalaman manis yang paling saya ingat sehingga ke hari ini, apabila ada penumpang yang bagi hadiah dan makanan sewaktu musim hari raya. Tak tahulah, mungkin mereka kesian tengok saya bertugas ketika orang lain seronok beraya. Saya tidak kisah, ini tanggungjawab dan punca mata pencarian saya demi menyara keluarga. Tapi rasa terharu dan seronok juga bila dihargai sebegitu. Rakyat Malaysia ni memang pemurah dan penyayang amnya.

Kalau pengalaman pahit pula, ketika ada suatu insiden di mana cermin sisi bas pecah terbarai. Puncanya? Bukan berlanggar dengan sesiapa. Tetapi dilibas ranting pokok. Pada masa itu keadaan angin sangat kuat. Mujur ianya tidak melarat jadi lebih serius dan penumpang semuanya selamat, syukur.

En. Farid: Pengalaman manis saya dalam bidang ini ialah apabila diberikan tugas yang pertama sebagai Kapten Bas. Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya pada masa itu. Rasa macam mimpi menjadi menjadi kenyataan, kerana minat yang mendalam sejak dari kecil lagi. Pengalaman pahit pula buat masa ini tiada, atau belum ada lagi. Saya pun baru bekerja belum sampai setahun. Saya sentiasa berdoa semoga urusan saya mencari rezeki halal setiap hari dipermudahkan, Insya-Allah.

Soalan: En. Zini, kini anak tuan sudah menjadi rakan sekerja. Apakah harapan tuan pada Farid?

En. Zini: Macam yang kita semua sedia maklum, apa jua bidang yang kita ceburi, ada cabarannya yang tersendiri. Saya berharap dan yakin, Insya-Allah, Farid akan sentiasa kuat dalam menempuhi segala cabaran mendatang. Kena sabar dalam bertugas, contohnya dalam melayan pelbagai kerenah penumpang. Secara umumnya, para penumpang RapidKL adalah baik belaka, tapi biasalah tu ada kalanya terdapat segelintir penumpang yang enggan mematuhi peraturan ketika menggunakan perkhidmatan awam. Pahit atau manis, ini semua pengalaman yang bakal menjadi ‘guru’ dalam mematangkan hidup kita.

Soalan: En. Farid pula, apakah perancangan masa hadapan?

En. Farid: Perancangan saya pada masa hadapan ialah untuk saya terus mempelajari dan menguasai lebih banyak laluan dalam kawasan Kuala Lumpur dan Selangor ini. Tambahan dari itu, jikalau ada rezeki pada masa akan datang, saya juga berimpian untuk diberi tanggungjawab sebagai FC atau ‘fleet coordinator’ (penyelaras armada) dalam menyelaras jadual tugasan para Kapten Bas.

Soalan: Soalan terakhir dari kami buat En. Zini, selaku seorang yang berpengalaman luas dalam bidang ini, apakah nasihat tuan kepada para penumpang bas?

En. Zini: Kepada para penumpang bas, jasa kalian dalam mematuhi peraturan-peraturan pengangkutan awam amatlah saya hargai terutamanya sekali apabila kita menyentuh soal larangan daripada makan dan minum dalam bas. Pematuhan kepada larangan sebegini amatlah penting atas faktor menjaga kebersihan dan keselesaan pengangkutan awam. Ianya kemudahan untuk dinikmati bersama-sama dengan penumpang yang lain juga.

Saya cuma mampu ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang menjaga disiplin ketika menggunakan perkhidmatan awam. Saya juga amatlah menghargai ucapan terima kasih dan senyuman dari para penumpang yang cukup bermakna buat kami para Kapten Bas. Kadang-kadang tu rasa lelah seumpama hilang bila bertemu dengan penumpang yang berkeperibadian mulia sebegini.

Soalan: En. Farid, mungkin boleh berkongsi sedikit nasihat buat anak-anak muda di luar sana yang berminat untuk bekerja sebagai Kapten Bas?

En. Farid: Nasihat saya kepada anak-anak muda yang mungkin masih tercari-cari halatuju, jika anda berminat dengan pengangkutan awam, jika anda ingin merasa bagaimana mengendalikan kenderaan berat dan jika anda seorang yang selesa bersosial dengan orang ramai; marilah ceburi bidang ini. Jom jadi Kapten Bas RapidKL. Seronok. Setiap hari ada sahaja pengalaman baru yang ditimba dalam membentuk diri kita menjadi seorang insan yang lebih baik dari semalam, supaya kita menjadi manusia yang dapat berbakti kepada semua, Insya-Allah.

Editor
Team Mobiliti
June 11, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami