Tiga Pesanan oleh Orang Lama Keselamatan Rapid KL
Gallery inside!
People of Prasarana

Tiga Pesanan oleh Orang Lama Keselamatan Rapid KL

Tim Mobiliti berpeluang mendekati Tuan Muhammad Aris Muslim, yang berjawatan Sarjan Polis Bantuan (PB) di Rapid KL. Beliau merupakan Ketua Zon 2 Pasar Seni Aliran Kelana Jaya.

Bekas pesara tentera berusia 58 tahun ini sudah menabur khidmat bakti sebagai PB bersama RapidKL sejak belasan tahun yang lalu. Ayah kepada dua orang anak ini walaupun berpewatakan tegas dan garang, beliau cukup dihormati di kalangan rakan-rakan setugas dan pernah menerima anugerah pengiktirafan beberapa kali oleh syarikat di atas khidmat dan komitmen beliau. Selain itu, beliau juga merupakan wajah yang amat dikenali di kalangan para penumpang tetap RapidKL atas kemesraan dan keakraban yang beliau tonjolkan dalam menyantuni masyarakat ketika beliau bertugas.

Tuan Muhammad Aris Muslim

Dalam temubual bersama Tim Mobiliti kali ini, Tuan Aris titipkan tiga pesanan khas untuk para pembaca Mobiliti sebagai peringatan demi kemaslahatan bersama ketika menggunakan pengangkutan dan kemudahan seliaan RapidKL, iaitu: -

1) Sentiasa peka dan jangan leka. Peka dengan keadaan sekeliling demi untuk keselamatan diri. Para penumpang pengangkutan tren dan bas RapidKL mencecah sehingga sejuta orang sehari. Pelbagai ragam dan kerenah dari bermacam jenis orang yang tidak kita kenali. Ini mendatangkan pelbagai risiko. Pihak pasukan keselamatan RapidKL sentiasa berwaspada dan bersiapsiaga dalam menjaga keselamatan para penumpang. Tetapi para penumpang juga haruslah memainkan peranan dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling. Awasi keselamatan diri, barangan peribadi dan berharga masing-masing. Jangan leka terutamanya dengan telefon bimbit. Malah, ada yang turut leka dengan telefon bimbit ketika menuruni tangga di stesen. Perkara sebegini berbahaya dan membawa risiko kemalangan ataupun kecurian. Kami mohon agar tabiat sebegini dikurangkan demi untuk keselamatan anda dan kita bersama.

Tuan Muhammad Aris Muslim

2) Sentiasa bersabar. Ya, ada masanya terdapat pelbagai isu. Sebagai contoh, gangguan perjalanan tren yang tergendala, bas lambat sampai dan sebagainya. Kami faham jika ada di kalangan pengguna yang resah dan gelisah. Tetapi, banyakkan bersabar. Percayalah, pasukan operasi teknikal RapidKL sentiasa bertindak pantas dan berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi isu-isu sedemikian. Kami pasukan keselamatan polis bantuan RapidKL pula sudah dilatih untuk mengawal situasi dengan tenang, walaupun ada kalanya kesabaran kami teruji dengan caci-maki penumpang. Kekal tenang dan sabar ya.

3) Saling hormat-menghormati dan jaga kesopanan. Kemudahan pengangkutan awam ini hak bersama. Jutaan rakyat dan juga warga luar menggunakannya saban hari. Kami sentiasa memantau dan bersedia untuk membantu para penumpang dan pengguna kemudahan RapidKL yang memerlukan. Akan tetapi, awas, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas dan pantas jika ada di kalangan penumpang yang tidak mematuhi peraturan dan berkelakuan tidak senonoh dan membahayakan penumpang lain. Sebagai contoh, koc wanita adalah khas untuk penumpang wanita. Tuntas. Buat kaum lelaki, hormati peraturan ini. Jangan masuk atau duduk di koc wanita, walaupun jika anda dapati koc itu lengang. Ini penting demi untuk mengelakkan kejadian-kejadian gangguan terhadap penumpang wanita. Contoh lain pula ialah, tempat duduk keutamaan atau 'priority seating'. Utamakan wanita mengandung, orang tua, orang kurang upaya atau penumpang dengan bayi. Bayangkan jika mereka ini adalah diri anda atau keluarga anda sendiri, tetapi tidak diberikan peluang untuk duduk oleh penumpang yang bukan dalam kategori yang disebutkan itu. Apa perasaan anda? Marilah kita sama-sama berbelas ikhsan, menyantuni dan hormat-menghormati sesama kita ya.

Tim Mobiliti mengucapkan terima kasih kepada Tuan Aris di atas perkongsian ini. Pesanan-pesanan yang beliau titipkan ini adalah pesanan umum selaku orang lama yang bertugas menjaga keselamatan. Umpama pesanan dari seorang ayah kepada anak, atau dari abang kepada adik. Semoga ianya mendatangkan manfaat buat kita semua.

Editor
Team Mobiliti
June 11, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami