Dulu Bas Mainan, Kini Bas Sebenar - ini Kisah Mekanik Bas yang Jarang Diceritakan
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkin, peribahasa Melayu ini tepat digunakan sebagai pembuka cerita untuk tulisan People of Prasarana kali ini.
Tim Mobiliti diberi kesempatan untuk menyantuni Encik Hasanudin bin Ahmad, yang bertugas sebagai mekanik bas di Rapid Kuantan, iaitu sebahagian daripada ekosistem Prasarana Malaysia Berhad.
“Sejak dari kecil lagi, saya memang amat berminat dengan jentera berat. Mungkin kerana semasa kanak-kanak saya gemar bermain dengan bas permainan,” ujar ayah kepada dua anak dan bakal menyambut kelahiran anak ke-3 ini, yang turut bertemu jodoh dengan isterinya yang juga merupakan kakitangan di Rapid Kuantan.
“Sebab itu saya memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang automotif dan selanjutnya memilih kerjaya sebagai mekanik bas. Sudah ditakdirkan, saya pula mendapat rezeki untuk berkhidmat bersama Rapid Bus Sdn Bhd, mulanya di Kuala Lumpur (Rapid KL) dan kemudiannya di Kuantan (Rapid Kuantan). Kepelbagaian model bas milikan syarikat yang perlu saya selenggara dan baiki membuka peluang untuk saya menimba pengalaman yang luas,” beliau menambah.
Hasan, begitulah panggilan mesra dari rakan-rakan sekerja kepada beliau yang sudah mencurah bakti sebagai mekanik bas sejak 15 tahun yang lalu. Minat beliau yang mendalam dalam bidang kejuruteraan automotif ini terserlah dengan komitmen jitu beliau dalam kerjayanya. Justeru itu, tidak hairanlah, bakat dan komitmen sebegini diiktiraf oleh pihak syarikat dengan menganugerahi beliau sebagai ‘Pekerja Terbaik Bulanan’ bagi bulan Mac 2023.
Dalam artikel-artikel terbitan Mobiliti terdahulu, ucapan "terima kasih" dari para penumpang bas adalah sesuatu yang ringkas namun cukup bermakna buat pembakar semangat bagi para kapten bas. Namun, untuk mekanik bas seperti Encik Hasan, yang secara lazimnya bertugas di belakang tabir, ucapan "terima kasih" sedemikian dari para kapten bas setiap kali beliau dan pasukannya selesai membaiki atau menyelenggara bas juga sudah cukup manis bagi beliau serta memotivasikan beliau dan pasukan untuk bekerja dengan lebih keras.
Bila ditanya tentang pengalaman pahit, jawapan beliau tuntas; “Tiada. Segala cabaran yang dihadapi, saya tidak anggap sebagai pengalaman pahit tetapi sebagai pendorong dalam kerjaya”. Pemikiran optimis sebegini membantu Hasan dalam menjalankan tugas dalam pelbagai keadaan yang adakalanya memerlukan kesiapsiagaan untuk dipanggil berkhidmat tanpa mengira waktu. Jika berlaku kerosakan bas di jalanraya, Hasan dan pasukan akan bergegas turun membantu. Berhujan, berpanas, itu permainan biasa baginya. Bak kata pepatah, "alah bisa, tegal biasa", matlamat utama beliau hanyalah satu, iaitu untuk memastikan bas boleh menyambung perkhidmatan sesegera mungkin agar para penumpang selamat tiba ke destinasi.
Hasan menitipkan pesanan buat para pembaca dari kalangan anak muda yang mungkin mempunyai minat yang sama, agar jangan lelah untuk belajar dan terus menimba ilmu, kerana kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk melibatkan diri dalam bidang kejuruteraan automotif ini perlu disemai sejak di bangku sekolah lagi. Malahan beliau yang kini berusia 37 tahun pun merancang untuk terus belajar mempertingkatkan kemahiran diri pada masa akan datang dengan pelbagai cabang disiplin ilmu lainnya seperti Pengurusan Sisa Terjadual, penggunaan sistem SAP, serta memperkasakan diri dengan ilmu berkaitan dengan keselamatan di tempat kerja.
“Saya amat bersyukur, kerana syarikat sentiasa menggalakkan dan memberi sokongan kepada kakitangan untuk terus berusaha meningkat kemahiran diri dan ini memangkin semangat kami untuk terus berusaha dan berkhidmat dengan secemerlang yang mungkin,” ujar beliau ketika mengakhiri temubual dengan Tim Mobiliti.