Bertubuh tinggi lampai dan tegap. Siapa sangka, polis bantuan dengan renungan tajam umpama sang helang yang memburu ini sebenarnya sudahpun menjangkau usia 40an. Beliau yang dimaksudkan ialah Encik Ahmad Fauzi Ajidin, yang merupakan Koperal Polis Bantuan RapidKL dan menggalas tugas selaku Timbalan Ketua Zon 2 Pasar Seni Aliran Kelana Jaya.
Tahun 2024 juga genap sedekad beliau berkhidmat bakti di RapidKL. Sedekad pengalaman bertugas menjaga keselamatan jutaan penumpang bukanlah suatu tugas yang mudah. Ianya menuntut komitmen fizikal dan mental yang tidak berbelah bahagi. Tim Mobiliti bertuah kerana dapat mencungkil sedikit sebanyak amalan dan petua kecergasan dan kecerdasan dari Encik Fauzi buat tatapan pembaca.
Tim Mobiliti (TM): Boleh encik kongsikan, bagaimana encik memastikan kecergasan diri encik di tahap yang optimum?
Encik Fauzi (EF): Sebenarnya, tiada apa amalan atau petua luar biasa yang saya amalkan. Cumanya saya pastikan untuk sediakan masa bersenam walaupun tuntutan kerja memerlukan saya bertugas tidak kira waktu. Saya tetapkan dalam pemikiran saya, bahawa untuk bersenam ini tidak hanya terhad kepada aktiviti dan masa tertentu semata. Dalam menjalankan tugas, saya perlu untuk banyak berjalan dalam membuat rondaan hampir setiap hari. Ini sangat membantu saya meningkatkan kecergasan dan stamina. Di luar waktu bertugas, saya akan bersukan seperti berjoging, bermain futsal atau badminton. Malah, bermain dan beriadah dengan dua cahayamata ketika saya tidak bertugas juga merupakan sebahagian daripada aktiviti saya bersenam.
Selain dari itu, saya pastikan pada masa ke semasa untuk membuat regangan, terutamanya selepas saya menyiapkan tugasan berbentuk menulis laporan atau kertas kerja dengan duduk lama di meja. Amalan regangan ini penting untuk memastikan tubuh dan sendi-sendi saya kekal fleksibel dan otot-otot terus berfungi dan bertenaga.
TM: Bagaimana pula dengan amalan pemakanan?
EF: Sepertimana amalan kecergasan yang saya sebutkan tadi, amalan pemakanan juga tiada yang luar biasa ataupun istimewa. Saya pastikan seboleh mungkin, setiap hari saya mengambil pemakanan seimbang dan bernutrisi serta meminum air kosong demi memastikan tubuh saya tidak nyahhidrat. Saya juga sentiasa cuba meminimakan pengambilan gula dan garam dalam makanan dan minuman.
TM: Kami pasti tugas selaku PB ini datangnya dengan cabaran tersendiri, seperti bidang-bidang kerjaya lain. Boleh encik kongsikan, selain dari kesihatan fizikal, bagaimana encik menguruskan kesihatan mental?
EF: Benar, tugas kami yang saban hari berdepan dengan jutaan penumpang dengan pelbagai ragam dan kerenah adakalanya amat mencabar. Diherdik dan dimaki hamun penumpang itu biasa. Terutamanya ketika di waktu-waktu puncak dan berlakunya isu perkhidmatan tergendala. Malah ada masanya kami terpaksa berdepan dengan orang mabuk dan juga kurang siuman di premis. Syukur Alhamdulillah, latihan yang kami terima selaku PB adalah sangat membantu dalam menangani contoh keadaan-keadaan sedemikian.
Saya kekalkan kesihatan mental saya dengan sering berkomunikasi dengan pasukan saya, baik dengan pegawai atasan mahupun anggota di bawah seliaan saya. Kami sering berkongsi ilmu dan maklumat serta luahan rasa kerana kami bekerja sebagai satu pasukan. Latihan-latihan berterusan yang disediakan oleh pihak syarikat juga antara faktor utama yang banyak membantu kami para petugas keselamatan untuk sentiada bersiapsiaga dalam berkhidmat.
Sebagai seorang yang beragama Islam, saya juga sebaik mungkin akan selitkan zikir dan selawat ketika bertugas untuk menenangkan diri dan menguatkan rohani saya, kerana saya berpegang bahawa bekerja juga merupakan suatu ibadah dalam mencari rezeki untuk keluarga.
Anda boleh nampak di sini, segala petua amalan dan aktiviti yang saya kongsikan adalah biasa sahaja. Ringkas dan mudah. Tiada yang luar biasa atau kompleks. Tetapi ini yang kadang-kadang ada antara kita terlepas pandang dan mencari sesuatu yang luar biasa. Tiada jalan pintas. Yang penting, kuncinya ialah amalan berterusan. Istiqamah atau konsisten.
TM: Apakah nasihat kepada anak-anak muda yang berminat untuk bekerja sebagai polis bantuan?
EF: Anda harus bermula dengan mempunyai minat yang mendalam. Ini asas utama kenapa saya memilih kerjaya ini. Saya sejak dari dulu meminati bidang kerjaya beruniform. Dengan minat, datangnya cinta pada kerjaya. Dengan cinta, datangnya komitmen dan kesabaran serta kesanggupan untuk menggalas cabaran demi untuk berkhidmat bakti kepada semua tanpa mengira agama, kaum, jantina serta kewarganegaraan.
TM: Banyak yang kami belajar hari ini. Terima kasih Encik Fauzi di atas kesudian encik untuk ditemubual.
EF: Terima kasih kembali kerana sudi memberi saya peluang ini.