Kenali Cikgu Sofhan, Jurulatih Operasi di Bus Academy
Gallery inside!
People of Prasarana

Kenali Cikgu Sofhan, Jurulatih Operasi di Bus Academy

“Guru umpama pelita hidup”. Ini adalah antara peribahasa yang cukup sinonim dalam menggambarkan peranan seorang guru yang menerangi kehidupan anak-anak murid dengan curahan ilmu. Pemilihan peribahasa ini amat bersesuaian untuk menggambarkan Encik Mohd Sofhan Bin Hassan Ma'asom, seorang Jurulatih Operasi di Bus Academy yang merupakan sebahagian daripada Jabatan Pembelajaran dan Kebudayaan, Divisi Modal Insan, Prasarana Malaysia Berhad.

Bus Academy telah melalui pelbagai transformasi dan kemajuan selama lebih 20 tahun ditubuhkan. Tanggungjawab utama Bus Academy ialah menyediakan dan memastikan semua kakitangan Rapid Bus diberi latihan yang lengkap dan cukup untuk mereka melaksanakan tugasan dengan terbaik, kompeten dan cemerlang. Bus Academy adalah satu entiti yang lengkap daripada penyediaan modul latihan, kandungan latihan, kemudahan latihan sehingga kepada penyampaian latihan dan juga penilaian tahap kompeten kakitangan. Ini telah meletakkan Bus Academy dalam pengiktirafan sebagai pusat bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK). Pada masa yang sama, Bus Academy juga telah mendapat pengiktirafan oleh Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sebagai penyedia latihan bertauliah. Bus Academy juga turut menyediakan latihan dan pembelajaran berterusan untuk tenaga kerja Rapid Bus bagi memastikan kecekapan dan kebolehupayaan kakitangan berada di tahap optimum.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Sofhan, beliau yang sudah berkeluarga dan bapa kepada 4 orang cahaya mata ini mempunyai sejarah kerjaya yang panjang selaku Jurulatih Operasi. Berumur 50 tahun, Cikgu Sofhan menyertai Bus Academy sebagai Jurulatih Operasi sejak dari tahun 2010 sehingga kini. Sebelum menyertai Bus Academy, beliau juga merupakan seorang jurulatih pemanduan di tempat lain dan ini menjadikan jumlah pengalaman beliau selaku tenaga pakar dalam bidang kejurulatihan hampir menjangkau dua puluh tahun lamanya.

“Saya memilih kerjaya selaku Jurulatih Operasi atas sebab minat dan cita-cita saya yang mendalam dalam mengembangkan ilmu kepada generasi baru pemandu demi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua,” ujar beliau. Ilmu yang disampaikan bukan hanya sekadar teori semata-mata ianya juga termasuk pengalaman beliau, yang merupakan bekas pemandu bas hampir sedekad lamanya sebelum bertukar bidang sebagai jurulatih. Semasa temubual bersama Tim Mobiliti ini dijalankan, Cikgu Sofhan memaklumkan beliau telah melatih hampir dua ribu pelatih kapten bas yang berkhidmat di Rapid Bus.

Tim Mobiliti: Boleh cikgu huraikan tugasan utama selaku Jurulatih Operasi ni bagaimana?

Cikgu Sofhan: Selaku Jurulatih Operasi di Bus Academy, antara tugas kami adalah memberi latihan kepada bakal-bakal kapten bus yang baru menyertai Rapid Bus. Latihan-latihan yang kami susun adalah pelbagai dan komprehensif, yang mana ianya bukan sahaja melibatkan kemahiran pemanduan, tetapi pelbagai aspek lain termasuklah bagaimana untuk menyantuni penumpang, keselamatan jalan raya, pengurusan insiden seperti jika berlaku kemalangan, pertolongan cemas dan pengendalian bas. Kami juga menyediakan pelbagai latihan berkala untuk kapten bas yang sedia ada dengan modul latihan yang ditambah baik serta terkini demi untuk memenuhi keperluan semasa.

Tim Mobiliti: Apakah latar belakang kelayakan untuk seseorang menceburi bidang ini?

Cikgu Sofhan: Pertama sekali, perlu ada minat. Apa jua pekerjaan yang kita lakukan, dengan adanya minat mendalam, InsyaAllah, segala cabaran dapat diatasi. Keduanya, pengalaman. Pengalaman saya selaku bekas pemandu bas amat membantu kerjaya saya sebagai jurulatih pemanduan. Dan faktor ketiga, ialah kena ada set minda yang betul, iaitu niatkan untuk mendidik, demi untuk kurangkan kemalangan, semaikan disiplin di kalangan pemandu untuk menjadi kapten bas berhemah dan sekaligus menjadikan jalan raya di negara kita lebih selamat untuk semua.

Tim Mobiliti: Apakah pengalaman manis dalam pekerjaan ini?

Cikgu Sofhan: Banyak, tapi antara yang saya tidak boleh lupakan ialah perasaan bangga bilamana saya lihat bekas anak-anak didikan saya mendapat penghargaan syarikat atas kecemerlangan khidmat mereka. Pengalaman manis lain yang tidak dapat dilupakan oleh saya ialah, apabila diberi peluang oleh pihak syarikat untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan melalui latihan – latihan yang sistematik sehingga melayakkan saya mendapat sijil Vocational Training Operation (VTO) dan Sijil Kemahiran Malaysia dari pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Tim Mobiliti: Bagaimana pula dengan pengalaman pahit?

Cikgu Sofhan: Pahit manis asam garam kehidupan.Ini menjadikan kehidupan menarik dengan cabaran-cabarannya. Sebab tu saya katakan tadi, kena ada minat. Kerana cabaran utama kerjaya ini ialah untuk mendidik pelatih yang datang dari pelbagai jenis latar belakang yang berbeza. Tentu sekali banyak kerenah dan ragam yang perlu diatasi. Ada yang jenis terima sahaja apa yang diajarkan. Ada pula yang jenis rajin bertanya dan kadang-kadang mempersoalkan apa yang telah diajar. Tetapi ini asam garam dalam proses pembelajaran yang kami selaku jurulatih pemanduan hadapi dengan sabar dan tenang. Saya seronok bertugas sebagai guru dalam bidang ini dan saya terima dengan terbuka apa jua jenis cabaran dalam mendidik pelapis kapten-kapten bas kami.

Tim Mobiliti: Terima kasih kami ucapkan kepada Cikgu Sofhan di atas perkongsian yang cukup bermakna ini. Semoga lebih ramai yang akan mendapat manfaat menjadi anak didikan cikgu di masa akan datang.

Cikgu Sofhan: Sama-sama dan terima kasih di atas peluang temubual ini.

Editor
Team Mobiliti
April 2, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami