Rapid KL, pengendali pengangkutan awam utama di Lembah Klang, bukan sahaja mengutamakan peningkatan mobiliti warga kota; ia juga terlibat secara aktif dengan komuniti melalui siri penglibatan dengan pengikut media sosialnya.
Bagi Rapid KL, penggunakan media sosial bukan sekadar medium untuk menyampaikan maklumat tetapi juga untuk berhubung dan berkomunikasi dengan komuniti. Melalui platform ini, Rapid KL mendapatkan sokongan daripada pengguna dan pengikut setia, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara pengguna atas talian dan luar talian.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengikut media sosialnya, Rapid KL menganjurkan beberapa siri aktiviti seperti aktiviti kecergasan, berkelah, dan berbuka puasa. Selama tiga tahun berturut-turut, Rapid KL telah menganjurkan aktiviti berbuka puasa bersama pengikut media sosialnya. Pertama kali dianjurkan pada tahun 2022 dengan penyertaan 50 orang peserta, jumlah ini meningkat kepada 100 orang pada tahun berikutnya.
Disebabkan permintaan tinggi dan sambutan yang baik, Rapid KL menambah jumlah penyertaan pada tahun ini kepada 400 orang peserta. Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan sebagai tanda penghargaan kepada pengguna dan pengikut setia tetapi juga sebagai usaha untuk meningkatkan jumlah penumpang.
Melalui usaha-usaha ini, Rapid KL memperlihatkan komitmennya dalam membina komuniti yang lebih erat dan bersatu, sambil mengukuhkan hubungan dengan pengikutnya melalui penglibatan yang bermakna dan berterusan.