Sebanyak lapan (8) buah stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) terpilih sebagai pusat respons asas kecemasan awal menerusi 'Rapid KL Safety Point' (RSP). Projek perintis ini dahulunya dilancarkan secara rasmi pada 19 Oktober 2022 oleh mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Encik Mohd Azharuddin Mat Sah.
Program RSP ini dilaksanakan di stesen-stesen rel terpilih di bawah seliaan PDRM (Kontinjen Kuala Lumpur) merangkumi stesen MRT Kampung Batu; Stesen LRT dan MRT Pasar Seni; Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang); Stesen LRT KL Sentral; Stesen LRT KLCC dan Stesen MRT Bukit Bintang. Stesen-stesen perintis ini dipilih berdasarkan jumlah penumpang yang tinggi dan tumpuan awam seperti pelancong.
Pada 7 Februari 2024 baru-baru ini, pihak Prasarana telah menerima kunjungan dari Ketua Polis Kuala Lumpur yang terkini, iaitu YBhg. Datuk Allaudeen Abdul Majid untuk meninjau perjalanan projek perintis ini. Dalam program lawatan berkenaan, Datuk Allaudeen menaiki pengangkutan awam kelolaan Prasarana dari Depot MRT Sungai Buloh ke Stesen Monorel Hang Tuah selain meninjau beberapa Safety Point yang terdapat di stesen berkenaan.
Hasil dari lawatan tersebut, beliau amat berpuas hati di atas tahap keselamatan pengangkutan awam yang berada dalam keadaan baik dengan kes jenayah yang dilaporkan adalah rendah membabitkan kes kecurian dan gangguan seksual.
Pihak Prasarana mengucapkan ribuan terima kasih di atas kunjungan dari pasukan Polis Kuala Lumpur dan kerjasama sebegini akan terus dimantapkan dalam usaha untuk mengurangkan insiden jenayah bagi memastikan orang ramai berasa selamat menggunakan perkhidmatan awam.