Wira Rapid KL Ketika Kejadian Pokok Tumbang
Gallery inside!
Berita@Mobiliti

Wira Rapid KL Ketika Kejadian Pokok Tumbang

Ahmad Zahiruddin bersama sijil penghargaan

Pegawai Monorel Ahmad Zahiruddin Nordin mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pengangkutan atas tindakan pantas beliau di dalam mengendalikan tren Monorel dan berjaya menghentikan tren ketika kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Mei lalu, empat (4) stesen Monorel membabitkan Stesen Bukit Nanas, Steden Raja Chulan, Stesen Bukit Bintang dan Stesen Imbi terpaksa ditutup sementara ekoran sebahagian daripada sebatang pokok besar tumbang ke atas landasan Monorel dalam kejadian ribut petir kira-kira jam 2 petang di Jalan Sultan Ismail.

Sesi bergambar Zahiruddin bersama Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook, diiringi oleh Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Bin Al Bakri serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (PGCEO) Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan

Semasa kejadian, dahan pokok besar itu telah jatuh ke atas landasan Monorel dan Zahiruddin telah berjaya menyelamatkan nyawa lebih 30 orang penumpang Monorel apabila beliau memberhentikan tren sebelum tiba di lokasi kejadian.

Zahiruddin yang sedang mengemudi tren pada ketika itu menggunakan brek manual untuk menghentikan tren dan dengan segera memaklumkan kejadian kepada Pusat Kawalan Operasi (OCC) setelah melihat sebahagian pokok yang tumbang itu menghalang landasan Monorel.

Ahmad Zahiruddin berkata, kawasan laluan Sultan Ismail yang mempunyai barisan pokok-pokok besar adalah salah satu sebab beliau lebih berwaspada dan berhati-hati dalam pemanduan.

Tindakan pantas Ahmad Zahiruddin yang berpengalaman selama 14 tahun dalam pengendalian tren itu telah mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook di dalam satu sidang media di Wisma Monorel telah menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Zahiruddin atas tindakan beliau yang bertindak pantas dan telah memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selamat.

YB Loke juga memuji tindakan pantas Prasarana dan kakitangan yang terlibat yang memainkan peranan penting dalam membantu mengawal keadaan dan memastikan penumpang lain selamat tiba ke destinasi.

Editor
Team Mobiliti
June 11, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami