Bersempena dengan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei 2024, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menyertai program Sambutan Hari Pekerja 2024, Pekerja Kesuma Bangsa, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 April dan 1 Mei 2024.
Prasarana terpilih sebagai salah satu majikan dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kerja di bawah program MyFuture Jobs. Dr. Harigaran Bharatham, Ketua Pegawai Kumpulan Modal Insan, menyampaikan amanat tersebut kepada Puan Nurul Ezalin Razak yang ditawarkan jawatan sebagai Jurutera Penyelenggaraan di MRT Laluan Kajang.
Melalui penyertaan dalam program ini, Prasarana membawa jenama Rapid KL berinteraksi dengan masyarakat, terutama pengguna pengangkutan awam, melalui pembukaan dua buah reruai yang memberi fokus kepada peluang kerjaya di Prasarana serta pendedahan tentang produk dan perkhidmatan Rapid KL di Lembah Klang.
Beberapa aktiviti yang dijalankan termasuk perkongsian maklumat tentang produk Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Pas Harian MyCity 1 hari dan 3 hari, Program OKU Smile, Kempen MyRapid Junior, maklumat tentang perkhidmatan Rapid KL, penggunaan aplikasi MyRapid Pulse dalam merancang perjalanan dan sesi pocket talk bertajuk ‘Rapid KL Menghubungkan Kita Semua’ yang disampaikan oleh Puan Iylia Abd Rahman, Naib Presiden Pemasaran.
Reruai kerjaya yang dikendalikan oleh wakil Jabatan Kumpulan Modal Insan juga mendapat sambutan yang luar biasa, dengan anggaran seramai 400 calon yang hadir. Pada masa yang sama, Encik Hairul Effendy Hamdan, wakil dari Jabatan Kumpulan Modal Insan, berkongsi peluang kerjaya yang ditawarkan di Prasarana kepada calon pencari kerja dan pelajar yang akan menjalani latihan industri.
Penglibatan Prasarana dalam program ini mendapat sambutan baik daripada para pengunjung dan program ini memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan barisan hadapan Rapid KL, memberikan cadangan dan memastikan Rapid KL terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Secara tidak langsung, penyertaan ini meningkatkan pemahaman masyarakat tentang perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh Prasarana serta memperkukuhkan jenama Prasarana khususnya Rapid KL di kalangan masyarakat.