Mereka yang sering ke parlimen akan tahu, setiap kali parlimen bersidang, salah satu cabaran paling besar yang dihadapi adalah untuk mendapatkan ruang untuk meletak kenderaan masing-masing. Baik bagi para pegawai kementerian yang bertugas, pengamal media yang melapor, mahupun pelawat yang datang untuk menyaksikan ahli-ahli Yang Berhormat ‘beraksi’ di dalam dewan, mereka yang membawa kenderaan persendirian ke parlimen sering berhadapan masalah kekurangan ruang tempat kenderaan.
Bagi membantu mengatasi masalah tersebut, pihak Rapid Bus sekali lagi tampil menyediakan perkhidmatan van perantara (T851) percuma ke parlimen sepanjang Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bermula 26 Februari hingga 27 Mac 2024.
Perkhidmatan van tersebut akan bermula dari Balai Pelepasan Express Rail Link KL Sentral, menyusuri Taman Botani Perdana, dan tamat di Bangunan Parlimen. Tempoh perjalanan adalah kira-kira 15 minit.
Perkhidmatan van tersebut beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 malam. Kekerapan perjalanan adalah setiap 30 minit pada waktu puncak (jam 7.00 pagi hingga 11.00 pagi, serta 4.00 petang hingga 8.00 malam) dan setiap 60 minit di luar waktu puncak.