Prasarana Akan Memperluaskan Penyediaan Sistem Pembayaran Terbuka untuk Keselesaan Orang Ramai
Dalam menyahut seruan Kerajaan untuk memudahkan lagi perjalanan para pengguna pengangkutan awam, Prasarana kini dalam usaha untuk memperluaskan penyediaan sistem pembayaran terbuka untuk keselesaan orang ramai.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, menggesa penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, termasuk Prasarana untuk menyediakan sistem pembayaran terbuka termasuk penggunaan kad kredit dan debit, Touch 'n Go serta e-dompet.
Ujar beliau, Kementerian sentiasa menggalakkan pendigitalan perkhidmatan untuk kemudahan penumpang dan menggesa pengendali untuk memastikan sistem yang lancar.
Tahun 2025 bakal menyaksikan kesemua 140 stesen LRT and MRT bakal menyediakan kemudahan sistem pembayaran secara terbuka, yang mana pengguna boleh membuat pembayaran tambang menggunakan pelbagai kaedah seperti kad kredit, kad debit, perkhidmatan e-dompet (Touch ‘n Go) dan sebagainya. Perancangan ini telahpun dimulakan oleh Prasarana dan hanya dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun ekoran sistem di semua stesen yang terlibat perlu dinaiktaraf terlebih dahulu.
Dianggarkan pada Februari 2025, sebanyak 50 peratus daripada gantri di setiap stesen bersedia untuk menerima kaedah pembayaran terbuka, dan kerja-kerja menaiktaraf ke atas semua gantri di setiap stesen dijangkakan dapat disiapkan menjelang Ogos 2025.
Walaubagaimanapun, usaha untuk mempercepatkan penggunaan sistem pembayaran terbuka ini sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan pengguna perkhidmatan bas Rapid KL dapat menggunakan sepenuhnya pilihan ini selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini.