Prasarana Sediakan Pelbagai Produk dan Promosi bagi Menarik Lebih Ramai Pengguna Pengangkutan Awam
Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam, Prasarana secara berterusan memperkenalkan pelbagai produk serta promosi menarik untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Selain menawarkan tambang tren dan bas antara yang termurah di dunia, Prasarana juga menawarkan pelbagai produk lain seperti pas perjalanan tanpa had bulanan My50 dengan kadar RM50 sebulan serta pas perjalanan tanpa had MyCity dengan kadar khas harian serendah RM6 untuk warganegara dan RM10 untuk bukan warganegara.
Pada Februari lepas, Prasarana telah memperkenalkan program OKU Smile yang mana pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar program tersebut berpeluang menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan rel dan bas yang dikendalikan oleh Prasarana.
Inisiatif OKU Smile ini boleh dinikmati oleh pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada dan pemohon baharu. Bagi pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada, mereka boleh melakukan pengaktifan di mana-mana kaunter Rapid KL LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih.
Manakala bagi pemegang kad yang telah tamat tempoh serta permohonan baharu pula, permohonan untuk mendapatkan kad baharu boleh dibuat di kaunter pendaftaran konsesi Rapid KL terpilih iaitu, di hab bas Pasar Seni atau stesen MRT Conlay.
Di Pulau Pinang, permohonan baharu boleh dibuat di Ibu Pejabat Rapid Penang, Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral. Sementara di Pahang pula, permohonan boleh dikemukakan di Rapid Kuantan, iaitu di Terminal Hentian Bandar.
Pengguna yang ingin membuat permohonan pas terbabit perlu membawa Bersama kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan verifikasi.