Sekitar Bulan Kemerdekaan 2023: Eksplorasi Merdeka, Keretapi Sarong, dan Program Remaja Berkeperluan Khas
Gallery inside!
Berita@Mobiliti

Sekitar Bulan Kemerdekaan 2023

Dalam usaha memupuk semangat perpaduan serta meraikan kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Malaysia, Prasarana telah menganjurkan Eksplorasi Merdeka Rapid KL 2.0 yang menyaksikan penyertaan kira-kira 800 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur. Matlamat disebalik acara yang diadakan pada 31 Ogos lepas juga selari dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini - Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah hadir di majlis pelepasan peserta.

Bulan Kemerdekaan 2023 terus dimeriahkan lagi apabila kira-kira 10,000 rakyat Malaysia berbilang kaum menyerlahkan rasa cintakan negara dalam program persembahan kilat berkumpulan, Keretapi Sarong 2023 di Dataran Merdeka, sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lepas. Lengkap berpakaian busana pelbagai kaum etnik dan kain sarung, para peserta yang datang dari seluruh pelosok negara menaiki LRT dan MRT ke Dataran Merdeka untuk menyertai acara tarian dan nyanyian lagu-lagu rakyat serta irama Malaysia dan turut serta dalam pelbagai permainan klasik seperti congkak, terompah kayu dan dam haji tanpa mengira kaum.

Daripada Keretapi Sarong kepada sarong keretapi pula. Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lepas, Prasarana telah ‘menyarongkan’ sebuah tren LRT Laluan Kelana Jaya dengan visual bertemakan Cerita Malaysiaku yang memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya. Antara lain, ruang dalaman tren tersebut dihiasi dengan maklumat berkaitan Rukun Negara, Negaraku, kebudayaan, perayaan, kepelbagaian makanan, tempat-tempat menarik serta sejarah pengangkutan awam di Malaysia. Menteri Komunikasi dan Digital, YB Tuan Fahmi Fadzil telah merasmikan pelancaran tren tersebut.

Prasarana turut berkongsi kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan 2023 dengan golongan yang kurang bernasib baik apabila ia meraikannya dengan kanak-kanak dan remaja istimewa dari Pusat Perkembangan Kanak kanak dan Rehabilitasi, Hospital Tunku Azizah (HTA) di bawah Program Remaja Berkeperluan Khas ‘Teen Titans', suatu inisiatif oleh HTA. Program yang dijalankan pada 27 Ogos lepas disertai 27 orang kanak-kanak dan remaja istimewa, para penjaga dan 30 orang urusetia dan kakitangan dari HTA. Anak-anak ini telah diberi peluang merasakan sendiri pengalaman menaiki bas Rapid KL yang lengkap dengan fasiliti mesra pengguna kurang upaya dari Hospital Tunku Azizah ke Taman Botani Perdana, di mana mereka telah disaji dengan pelbagai juadah dalam suasana perkelahan yang santai.

Editor
Team Mobiliti
April 2, 2024

MENEROKA GAYA HIDUP WARGA KOTA MENERUSI MOBILITI

Follow
Kami