Kekerapan tren bagi LRT Laluan Kelana Jaya dijangka bertambah baik berikutan pengoperasian tiga lagi tren baharu bagi laluan tersebut pada September lepas. Penambahan tren tersebut menjadikan jumlah tren baharu yang telah beroperasi sebanyak 11 buah sejak September 2020.
Ini adalah sebahagian daripada perancangan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam usaha mencapai kekerapan tren setiap 3 minit bagi laluan LRT Kelana Jaya, yang merupakan laluan tersibuk di dalam jajaran tren Rapid KL. Laluan tersebut secara purata membawa 234,000 penumpang sehari.
Di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV27), Prasarana dan Rapid Rail memperoleh sejumlah 27 set tren baharu bagi membantu menambahbaik kekerapan waktu puncak kepada kurang daripada empat minit. Baki 16 set tren akan diterima secara berperingkat dari September 2023 hingga Disember 2024.